Kepadamu yang kurindukan

Copyright: (C) Muktasyaf Ibrahim Annamir

PADA suatu hari seorang rakan serumah bertanya kepada saya, “Kenapa saya perasan kamu dua tiga hari ini lain macam sahaja? Ada apa-apa masalah?”

Saya tahu beliau ikhlas bertanya. Saya hanya menjawab, “Tidak ada apa-apa, cuma saya rindukan seseorang….

“Siapa?”

“Bakal isteri saya….”

Segera senyuman girang terukir di wajahnya, “Wah, kalau sudah ada bunga di hati kenapa tidak diberitahu kepada saya. Patutlah kamu nampak banyak bermenung kebelakangan ini. Ceritalah, siapa orangnya?”

Jawab saya, “Ah, kalau diberitahu pun bukan kamu kenal. Tidak payahlah.”

Dia terus mendesak, “Iyalah, mana tahu kena-kena, saudara mara saya atau kawan-kawan kita yang lain atau kenalan zaman sekolah dahulu. Maklumlah Malaysia ini bukannya besar sangat pun.”

Saya berpaling kepada beliau sambil tersenyum sumbing, “Tidak… tidak mungkin dan mustahil.”

Dia tidak puas hati dan terus mengasak, “Apa yang mustahil dalam dunia ini?”

Saya kemudian menjawab lurus, “Macam mana mahu tahu siapa bakal isteri saya itu sedangkan saya sendiri pun tidak tahu siapa dia.”

Nada beliau menjadi sedikit tinggi kerana menyangka saya mempermainkan dirinya, “Habis, yang kamu berkhayal dan bermenung itu untuk siapa?”

Saya yang sudah mahu tergelak saat itu terpaksa menahan tawa kerana tidak mahu kemarahan dia terus membara, “Begini, bukankah Allah sudah maktubkan ajal dan maut, rezeki, ujian sekaligus jodoh kita semua jika panjang umur, insya-Allah.”

Dia mengangguk.

“Cumanya kita tidak tahu siapa sebenarnya jodoh kita sehingga kita jumpa dan sah berkahwin dengannya, jadi salahkah saya rindukan bakal isteri saya?”

Dia tidak berkata apa-apa. Terus berlalu naik ke bilik dan saya dibiarkan berseorangan melayan keindahan merindu kepada bakal isteri.

Selama beberapa lama saya dalam keadaan demikian dan saya yakin kebanyakan daripada manusia normal adalah begitu…

Rindu

Rindu adalah fitrah semula jadi manusia. Ia datang bersemu dalam sanubari semenjak kita mempunyai perasaan lain seperti gembira, marah, sedih dan sebagainya.

Bagaimana kita lihat anak-anak yang disusui sendiri oleh ibu bapa mereka tidak betah tenang dan cukup dengan susu botol sekalipun ibunya meninggalkan dirinya hanya beberapa hari. Menjadi kebiasaan mereka akan susah tidur dan mengamuk kerana kerinduan kepada ibu mereka.

Kerinduan juga mampu mencandukan manusia, sebagaimana kemabukan Laila dan Majnun, sebagaimana kekhayalan Romeo dan Juliet demi sebuah perasaan yang dinamakan cinta. Bibit rindu bertunas membentuk perasaan yang mendesak malah mampu mempengaruhi manusia berkelakuan luar duga.

Rindu jua kadang-kadang mendatangkan ketagihan kepada Sang Uda yang tinggal kejauhan di Johor Bahru datang memacu keretanya beratus kilometer tanpa rungutan akan kos dan jauh perjalanan hanya semata bagi berjumpa dengan Si Dara sempena hari jadinya . Walau hanya sekadar berjumpa beberapa minit bagi menyerahkan sesuatu kemudian terpaksa pula kembali ke Johor Bahru sejurus itu juga.

Tidak mengapa, demi sebuah kerinduan yang perlu dilunas dan dipuaskan… tidak mengapa. Bukankah kerana benih rindu yang membuah cinta memberanikan si jantan hidung belang berkata, “Demimu dinda, lautan api marak membakar kuharungi tanpa gentar di hati.”

Wah, hebatnya si teruna dan hebatnya si dara. Namun apakah mereka sudah mendakap kerinduan abadi? Kerinduan yang membuahkan ketenangan bukannya keserabutan. Kerinduan yang mendatangkan manis yang berpanjangan bukannya manis sebelum sepahnya dibuang!

Cuba kita renungkan….

Kerinduan hakiki

Di sebalik kerinduan itu ada sebuah kerinduan yang hakiki. Kerinduan yang diredhai Allah, kerinduan yang menelusuri sunnah Rasulullah.

Alangkah indahnya seluruh kerinduan yang di atas tadi kita letakkan pada tempatnya, bagi merindui Sang Pencipta perasaan rindu dan benda yang dirindui itu. Bukankah kepada-Nya wajar kerinduan yang ada dalam diri kita sebagai hamba-Nya.

Lihat sahaja bagaiaman kerinduan Rasulullah dan para sahabat kepada Allah. Mereka melafazkan kata-kata rindu dengan zikir kepada Allah, melakukan ibadat dengan tekun kepada Allah dan melaksanakan apa yang diamanahkan dan meninggalkan apa yang dilarang dengan tuntas.

Rindu Ramadan

Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi adalah satu daripada kerinduan Rasulullah, para sahabat dan ulama salafus soleh. Kerinduan mereka kepada Ramadan seperti pungguk merindukan bulan.

Kerinduan tersebut sangat membahagiakan mereka sehinggakan persiapan rohani dan jasmani sudah dilakukan dua bulan awal sebelum menjelang bulan Ramadan itu sendiri. Rasulullah sudah mulai berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban sebelum Ramadan menjelang.

Bulan puasa adalah bulan pesta ibadah, bulan pesta pahala. 1001 kelebihan yang tersurat dan tersirat ada dalam bulan ini. Bulan diturunkan al-Quran, bulan padanya Allah kurniakan Lailatul Qadar yakni malam seribu bulan, bulan kemenangan tentera Islam dalam jujutan peperangan besar bermula dari zaman Rasulullah di Madinah hingga zaman ini.

Ini adalah bulan yang patut kita rindukan, khayalkan dan idamkan. Bayangkan betapa ruginya andai Ramadan yang akan menjelang tidak mampu kita gapai dan peluk. Betapa kita rugi andai kita tidak termasuk seorang daripada penuntut Universiti Ramadan yang penuh dengan aktiviti tawaran pahala yang sangat hebat.

Ketika ini, saya sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak gadis yang elok rupa parasnya. Rindu kepada jodoh hidup saya sudah terlunas, lantas saya terfikir alangkah ruginya andai Ramadan tidak dirindui kerana merindui Ramadan adalah lebih hebat daripada merindui jodoh hati, merindui Ramadan adalah merindui anugerah Ilahi yang tidak ternilai dalam kehidupan ini.

Kerinduan kepada kekasih, anak, isteri, pangkat dan apa sahaja di muka bumi yang bersifat makhluk tidak abadi dan hakiki. Hanyalah kerinduan kepada Allah dan anugerah-anugerah-Nya sahaja membawa diri dan sanubari kepada ketenangan dan kebahagiaan yang abadi dan hakiki.

Mungkin saat ini Ramadan sedang bertanya, “Siapakah manusia yang sudi merinduiku….

*Tulisan ini sudah diterbitkan di laman rasmi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd: pts.com.my dan disediakan oleh Zahiruddin Zabidi dari kalamkhalifah.com , Seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku Melayu tersohor di Malaysia. Beliau juga adalah penulis novel sejarah Islam bertajuk Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi (2010) dan Aminah: Cinta Puteri Quraisy (2010) juga sebuah karya motivasi keagamaan berjudul Bukan Susah Nak Faham (2011).

About Kujie

Pemilik tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat di dalam laman ini. Jika anda memerlukan perkhidmatan nasihat yang khusus, sila dapatkan pakar bertauliah dan berpengetahuan di dalam bidang berkenaan.

Untuk biodata penuh boleh lihat di Biodata Kujie

Mereka Yang Berkongsi Rasa

  1. Subhanallah..
    Tulisan anda benar2 menyentuh saya. Meskipun jauh dari Rasulullah SAW dan telah usai bulan ramadhan di tahun ini akan tetapi sebuah kecintaan itu tidak akan pernah berakhir untuknya dan kerinduan akannya bisa terobati bila kita selalu mendekatkan diri pada Sang Kholiq.
    Jom terjah post menarik dari Rina As ..Cara Mengetahui Posisi Blog di SERP Google Yahoo Bing | Checker ToolMy Profile