Rumahtangga

Macam Mana Mama Jumpa Abah?

Dalam perjalanan balik dari kampung semalam, Intan dan Along bertanya soalan yang buat hati saya kembali mengebu-gebu seolah-olah jatuh cinta untuk kali pertama.

Saya pernah tulis dalam entri Ramadan dalam hidup saya yang memenangi hadiah peraduan. Along dan Intan ketawa terbahak-bahak mendengar kisah cinta pertemuan saya dan suami.

Saya copy paste kisah itu di sini ye…

Sejarah awal perkahwinan kami sangat ringkas dan singkat. Untuk pertama kalinya saya bertemu pada 9hb Mac 1991 – pada majlis pembukaan rasmi kilang Canon , Shah Alam. Kami datang atas jemputan rakan serumah masing² yang secara kebetulan rakan sekerja.

Sebenarnya dia datang untuk melihat awek lain yang dia dan kawan-kawan serumah sering bergossip. Jumpa saya dia terus tinggalkan kawan-kawan yang datang bersama. Lebih kelakar, dia boleh tinggalkan kawan-kawannya balik naik teksi sendiri, dia pula menjadi lelaki macho tawarkan diri menghantar saya balik.:lol: Macam drama tv.

Seminggu selepas pertemuan pertama, dia telefon saya ajak keluar, saya menolak dengan alasan nak tengok cerita cina kat tv2..…dulu² setiap petang Isnin – Khamis layan cerita cina kat tv2. Alasan sengal sebenarnya kerana dia ajak keluar makan malam sedangkan waktu itu baru 6 petang , saya tersilap bagi schedule rancangan tv.

Macam hero filem hindi yang tidak pernah mengenal erti putus asa, dia menelefon saya sekali lagi selepas maghrib . Kali ini saya tak control ayu lagi, terus setuju…..tadi tu kenalah test market…tengok pasaran saham.:lol:

Dari Taman Sri Muda, Shah Alam kami ke gerai makan berdekatan kilang Motorola Sg. Way (kilang tu dah tutup tapi alhamdulillah, cinta kami masih utuh).   Hari itu adalah 17hb Mac 1991 bersamaan 30 Sa’aban 1411, esoknya 1 Ramadhan tetapi jin aperit dah menguasai, kami berdating malam pertama puasa – ponteng sembahyang terawih.

Selepas makan, terjadi satu lagi peristiwa yang tidak mungkin saya lupa. Mungkin inilah balasan cash dari Allah…. kereta tak boleh dihidupkan!

Untuk pertama kalinya dalam hidup , saya tolak kereta dan lebih sadis lagi pada dating pertama.  Bayangkanlah awek cun melecun xcited keluar first date kana tolak kereta depan kedai makan…..huwaaa!:oops:

Macam drama tv! Terbahak-bahak Along dan Intan ketawa … wah…abah rock!

Dalam perjalanan balik, di depan Seksyen 18 sebelum lampu isyarat ke Seri Muda, sekali lagi kereta mati tiba². Kami buat keputusan tinggalkan kereta di situ dan berjalan kaki. Hampir ke simpang Sri Muda, bas terakhir ( 337B ) baru berlalu . Lagi sekali……..huwaaaa…… itulah…. patut pergi surau berterawih tapi pergi berdating pula ! Adik² jangan buat macam ni tau…

Saya berjalan kaki dalam gelap bersama kenalan yang baru seminggu kenal sehingga ke stesen teksi . Naik teksi bersama dan dia hantar saya ke rumah. Dengan teksi yang sama dia balik ke Seksyen 16. Sebelum teksi berlalu, beria² dia meminta maaf kerana beberapa kejadian yang tidak terduga itu ( patut dah tahu..sebab memang bateri kereta tu dah kong…)

Naik ke rumah, dari tingkat 5 lot paling tepi saya melihat kilauan lampu² bandar Shah Alam. Saya merenung jauh – si dia di sana . Masa tu belum ada telefon bimbit. Detik itu, waktu itu satu perasaan aneh telah meresap dalam jiwa – dah mula dilanda angau! Cintan cintun sudahhh….! :oops:

Saya melihat sikap bertanggungjawap dan sikap menghormati saya sebagai seorang perempuan ( time tu panggil awek )

Esok pagi sewaktu pergi kerja, saya melalui tempat dia parking kereta yang rosak semalam. Ah….saya nampak kelibat seseorang sedang tidur di dalam kereta. Ha ha ha..saja jerit dengan Jini ( kawan serumah )

” tu lah…..pakwe aku pergi dating semalam”

Dua bulan selepas itu, pada 17hb Mei 1991 dia telah mengikut saya balik untuk bertemu mak dan ayah di kampung. Itulah kali pertama saya bawa balik seseorang untuk diperkenalkan secara rasmi dengan keluarga. Kami naik bas dari Puduraya dan tiba di Baling keesokkan paginya. Sehari sebelum nya, dia potong pendek rambutnya. Sebelum ni sentiasa berikat, maklumlah zaman tu zaman rock kapak.  Zaman Bloodshet, Bumiputra Rockers, Crossfire, Search, Wing, Terra Rossa dan banyak lagi. Masih dengan image seluar ketat dan rambut panjang juga meriah bertandang ke konsert² rock.

Sebulan selepas itu 18hb Jun 1991 – sekali lagi rombongan dari Sabak Bernam datang ke rumah untuk meminang..kehkehkeh..saya tak pula mimpi di patuk ular tapi saya mimpi banjir besar dan saya bergayut memeluk seekor ular yang besar- sebesar pokok kelapa..wahhh…. mimpi pun demand yang besar².

3 bulan kemudian, pada hari Rabu 18hb September 1991 ( 9 Rabiul’awal 1412H ) – saya secara sahnya menjadi seorang isteri. Bukan lagi sekadar mimpi peluk ular tetapi dapat bantal peluk interaktive!

6 bulan selepas itu, dalam bulan Ramadan 1412 saya disahkan hamil anak pertama. Saya masih ingat macam mana gembiranya suami bila doktor beritahu berita ini. Malamnya selepas tengah malam, kami keluar ke Chow Kit. Meriahnya waktu itu walaupun sudah 1 pagi kerana orang masih berduyun² membeli belah membuat persiapan di akhir Ramadan. Suami belikan saya bunga siap digubah dan pasu tembikar. Ha ha ha..praktikal tau…. tak perlu bagi bunga segar nanti layu juga.

Kami akan balik berhari raya pertama sebagai suami isteri di kampung saya, tetapi akan singgah untuk berbuka puasa bersama mertua dulu. Rancangnya lepas bersahur baru balik melalui Teluk Intan.

Sedang berkemas² selepas sahur, masukkan segala kuih dan kerepek yang mertua kirim untuk bisannya di Kedah… emak mertua saya berbisik lembut di sisi

” Jie puasa penuh ke?”

Tengok betapa berseninya pertanyaan mertua saya. Raut gembira dapat saya lihat dari jawapan ‘Ya’ itu. Itulah orang berpengalaman, sekilas pandang pun sudah tahu sedangkan kami belum beritahu sesiapa lagi berita ini dan saya pun belum lagi menunjukkan tanda² muntah dan loya² ( bukan seperti drama² melayu- mengandung saja mesti ada adengan muntah² )

Saya tahu, itulah berita gembira yang ditunggu² kerana saya sedang mengandungkan cucu pertama dari anak lelaki mertua . Along adalah cucu ke 11 dalam keluarga mertua dan cucu pertama dari waris lelaki.

” Along tau, masa mama sarat mengandungkan Along, dok tunggu hari tu…… abah bawa mama p tengok race kat Litar Batu Tiga naik motor Cagiva Mito…Along bayangkan dengan memboyot tu mama naik superbike merah dengan baju merah”


Pemilik tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat di dalam laman ini. Jika anda memerlukan perkhidmatan nasihat yang khusus, sila dapatkan pakar bertauliah dan berpengetahuan di dalam bidang berkenaan. Untuk biodata penuh boleh lihat di Biodata Kujie

Comments are closed.