Warung Pinggan Besar Aziz Satar

Entri ini adalah siri terakhir untuk Cuti-cuti Malaysia saya ke Pahang dan Terengganu.  Saya tak cerita tentang aktiviti peribadi kami, apa yang saya kongsi adalah lokasi atau tempat menarik yang boleh dilawati apabila melawat sekitar Pahang dan Terengganu.  Mungkin boleh memberi idea kepada sesiapa yang sedang merancang bercuti sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Saya listkan entri tersebut supaya senang untuk membuat rancangan percutian dan menyusun jadual.

Atau kalau ingin mencari tempat lain yang ingin dilawati, klik Tempat Menarik Untuk Dilawati., mungkin boleh mendapat idea merancang cuti akan datang.

Entri ini untuk kawan blogger saya Arin yang sedang bercadang untuk melawat pantai timur juga untuk sesiapa yang akan bercuti sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Jangan lupa bawa Hanum, Zara dan Harith  naik  Bas Kayu ye…

 

sempadan negeri terengganu

Sebenarnya saya pernah ke warung ini pada lawatan dulu, tapi tak berapa ingat hinggalah baca blog Puan Bee mengenai percutian dia ke Cherating awal Disember baru-baru ni.  Senang saja nak ke warung pinggan besar gedabak ni.

Selepas memasuki sempadan Negeri Terengganu, memandu lebih kurang 5 Kilometer. Sampai di persimpangan lampu isyarat ke – 3 ( masa saya pergi itu lampu isyarat ke-3, tak tau lah selepas itu ada lampu isyarat baru ) , ambil simpang ke kanan ke arah Kuala Kemaman.  Paling senang, persimpangan yang ada Masjid Geliga di sebelah kanan dan ada Hentian Bas Ekspress Kemaman.

Kira-kira 300 meter, jumpa simpang tiga, ambil arah ke kiri. Sebelah kiri akan jumpa SMK Geliga. Selepas sekolah, Warung Aziz Satar berada di seberang  kanan jalan .

kedai satar yang sedap di terengganu

Inilah warungnya… Warung Aziz Satar.  Satar adalah nama makanan yang popular di Terengganu. Khabarnya pemilik  asal warung ini juga bernama Satar.

satar sedap  di kemaman  terengganu

Satar ialah masakan istimewa di negeri Pantai Timur Semenanjung. Ia adalah campuran ikan tumbuk seperti isi ikan selar kuning, kerisi, gelama atau tenggiri bersama lada , kelapa parut dan bahan rempah lain. Satar dibungkus dengan menggunakan daun pisang berbentuk kon dan kemudiannya dicucuk pada bilah buluh dan akhirnya dibakar.

Harga satar untuk 10 biji ialah RM 5.00.  Kalau beli di gerai sepanjang jalan Kuala Kemaman, harganya RM4.00.  Saya dah beli dan agak kecewa kerana keras dan sejuk.

Puas hati makan yang mahal sepuluh sen tetapi lembut , panas dan sedap.  Bukan nak makan tiap hari, atau nak makan selori, entah²  dua tiga tahun sekali.  Alang-alang nak makan , cari yang betu-betul memuaskan hati.

moa

Warung Aziz Satar juga dikenali dengan nama Kedai Kuning terletak di Jalan Kuala Kemaman, Kg Geliga , Kemaman , Terengganu.

ikan pari bakar

Dua kali kami makan di sini sepanjang percutian 3 hari 2 malam di Cherating.  Malam malam kali pertama, kami ambil seekor ikan pari bakar.  Separuh saja dihidang dan separuh lagi dibungkus.  Tak larat nak makan bertiga.

Sedap… saya suka.  Ikan kat sini memang segar.

sotong pulut

Hari terakhir di Cherating, selepas check out, dalam perjalanan ke Kuala Terengganu kami singgah untuk makan tengahari pula.  Ada berpuluh-puluh jenis masakan dan berjenis-jenis ikan.

Pais ikan dan pais sotong juga sedap.  Harga sebungkus pais ikan antara RM 2.00- 3.00  dan pais udang RM 2.00

Tahu pais?  Ikan atau udang atau sotong dibungkus bersama rempah ratus di dalam daun pisang dan kemudiannya dibakar.

warung pinggan besar

 

Ini adalah satu keistimewaan di Warung Aziz Satar – pinggan besar!  Pinggan saya yang besar gedabak tu nampak kosong bila ada sotong dan sayur sahaja.

Keluarga kami bukan biasa makan dengan pelbagai jenis masakan serentak.  Tak pandai makan bercampur-campur.  Nasi dan satu jenis ikan dan satu jenis sayur walau pun ada berpuluh-puluh jenis menu yang lain.

Ini entri last cuti-cuti tahun lepas………….. final episod ni.. hiks!

 

©kujie –  26 Januari hingga 28 Januari saya bercuti ke pantai timur lagi.  Nak pergi rumah blogger Hairul Azni.  Tetiba dia muncul… jeng…jeng..siapa dia?