Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H

ucapan selamat hari raya

Alhamdulillah, segala puji dan syukur bagi Allah s.a.w kerana diberi kesempatan untuk merasai detik Syawal 1433H kali ini . Ketibaan Syawal ini lebih bermakna kerana sekali lagi kami sekeluarga dapat menyambutnya bersama setelah dua tahun berjauhan dengan suami yang bertugas di luar negara.

Tahun ini kami merancang untuk balik ke kampung suami di Sabak Bernam selepas menerima tetamu sebentar lagi iaitu kumpulan jiran tetangga yang bertakbir dari rumah ke rumah di malam raya. Petang raya pertama, kami sekeluarga akan memulakan perjalanan ke Baling , Kedah di rumah kedua ibubapa saya.

Hari raya ketiga, kami merancang melalui Lebuhraya Timur Barat ke Jeli, Kelantan dan meneruskan perjalanan ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu kerana pada hari raya ke empat , suami saya terpaksa berada di tapak projek Empangan Hidroelektrik Puah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Hari raya ke-5 ( Khamis ), kami akan kembali ke rumah semula kerana suami saya akan menyambung cuti selama 3 hari lagi. Hari raya ke- 6 ( Jumaat ) , Angah akan balik semula ke kolej di Kuala Nerang, Kedah.

Begitulah lebih kurang rancangan percutian hari raya saya dan keluarga. Perjalanan ini akan meliputi  lebih 1000 kilometer termasuk negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bercuti 3 hari, kerja 2 hari dan sambung cuti 3 hari. Tempat kerja suami bukannya 40 kilometer dari rumah, tetapi lebih 400 kilometer jaraknya.

Dikesempatan ini saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam umumnya pembaca blog kujie2.com. Semoga Allah menerima amalan-amalan kita di bulan Ramadan seterusnya memilih kita untuk terus berada dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Maafkan atas segala tindakan yang menguris rasa , sifat dan sikap terkasar bahasa. Saya insan biasa yang tak luput dari khilaf . Beribu maaf dipinta …

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H  dan selamat bercuti dari kami sekeluarga  Saipul Anwar, Kujie , Along, Angah dan Intan

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd.

Tradisi di kejiranan kami , bertakbir dari rumah ke rumah…

jiran berkunjung di hari raya

Tak perlu menjemput atau dijemput

dara sunti berbasikal tiga sekawan

Tengok anak dara sunti bertiga ni, teringat zaman raya dulu-dulu…. menziarah tak kira rumah siapa, kenal atau pun tidak.

Saya tak buat  ‘rumah terbuka ‘ secara formal,  gate rumah saya sentiasa terbuka di musim raya seperti ini.  Menziarah di hari raya tak perlu menjemput atau dijemput.

Sejak balik 2 hari sudah, lebih 40 orang tetamu yang singgah…. kata orang tak kering air di tangan.

Kenangan Pukul Telur Dalam Guri

Salam Ramadan kawan-kawan…

Rasanya diakhir² Ramadan ni, surirumahlah yang paling sibuk. Dari hujung tangga sampai ke ceruk dapur semua nak disentuh , nak dibelek dan nak dikemas.  Tapi nak juga update blog… :lol:

Zaman-zaman dinosaur saya dulu , zaman anak dara sunti …..pagi² macam ni waktu matahari baru nak muncul adalah waktu ‘pukul telur’. Zaman tu kuih wajib adalah baulu, macam ‘raja kuih’. Pukul telur dengan penimbuk berspring dalam ‘guri’ . Tau guri?

Guri atau tempayan

image: mudah.com.my

Guri tu macam tempayan atau pasu yang dibuat dengan tanah liat tapi mulutnya lebih lebar dan rendah. Pukul pagi² waktu matahari tengah naik supaya dalam suhu yang suam-suam memudahkan ‘telur kembang’ dan ‘cepat naik’.

Cepeluk…cepeluk…cepeluk… bunyi telur yang dicampur gula dipukul di dalam guri. Buih-buih telur timbul naik dalam guri.   Sesekali angkat penimbuk dan tengok lelehan telur yang kembang jatuh menitis tak putus-putus.  Kadang-kadang beralih tempat sebab nak ‘kejar’ cahaya matahari. Bukan senang nak pukul telur 30-60 biji yang dicampur gula secara manual.  Muscle semua naik…:lol:

Jika semua sama , akankah ada ghairah sambut sesuatu yang indah?

Ini adalah gambar Aidilfitri 2006 ,  raya terakhir bersama arwah bapa mertua saya. Setiap tahun sewaktu bersalam dengan bapa di pagi Syawal, bapa akan cium ubun-ubun semua anak cucu juga menantu bapa. Tahun ini, amat terasa akan kehilangan bapa.Sepatutnya mengikut giliran, saya menyambut 1 Syawal di kampung saya di Baling tetapi dalam situasi begini tidak salah jika kita bertolak ansur mengikut keadaan.

Walaupun tanpa bapa, kami meneruskan juga tradisi bertahlil dan membaca doa selamat di pagi Syawal. Bezanya tahun ini kami bertahlil untuk arwah bapa. Masing-masing berlinangan airmata bila memandang emak keseorangan … selalunya bapa akan berada di sebelah emak.