Cara Potong Kaki Kucing

Tajuk pun dah seram …hihi.

Sebenarnya itulah antara soalan paling kerap ditanya.   Bila kes terpaksa memotong kaki kucing adalah setakat mana paras yang sesuai nak potong. Potong separuh atau keseluruhan sampai sendi.

Jawapan saya : Daripada pengalaman saya menjaga dan merawat kucing tiga kaki, lebih baik dipotong sampai sendiri. Samada sampai bahu atau sampai peha.

Bila tak buang habis, tulang kucing akan menekan bahagian hujung anggota yang tinggal hingga tegang menyebabkan lapisan kulit yang nipis mudah untuk cedera.

Saya agak menyesal kerana tak menyatakan secara detail dan specifik sewaktu pembedahan. Saya serahkan sepenuhnya kepada doktor. Saya tak ada pengalaman dan rupa² keputusan selepas pembedahan agak mengecewakan.

Bagaimana pun saya tetap bersyukur kerana kami telah dapat melepasi ujian ini walaupun agak rumit pada awalnya. Perkara² ini menjadi satu pengalaman berharga untuk dikongsi sebagai panduan.

Kes Alice.

Kaki terjuntai Alice dipotong antara siku dan bahu, maksudnya ada tulang yang tajam dihujung. Akibatnya luka lambat sembuh. Kawasan tersebut selalu tegang dan sampai sekarang kita boleh rasa tulang kerana kawasan tersebut mempunyai kulit yang nipis.

Syukur kawasan kaki Alice ditumbuhi bulu yang lebat.

 

Kes Beemo

Sama juga, dipotong separuh dan lukanya tak bercantum. Saya bawa dia ke 3 klinik sebelum jumpa klinik yang mahu membuat pembedahan semula, memotong keseluruhan kaki hingga peha.

Selepas itu barulah baik dengan sempurna.

Kaki Beemo yang dipotong – masih terjuntai² dan ada luka yang tak mudah sembuh.

Beemo sekarang selepas pembedahan potong kaki kali ke 2.


Kes Noor Jannah.

Kaki depan, dipotong sampai atas tapi masih ditinggalkan tulang selepas sendiri.

Walaupun dah sembuh, kawasan tersebut kulitnya nipis kerana kerap tersentuh lantai bila dia melompat. Saya risau je takut² terkoyak, susah nak baik sebab hujung tulang yang tajam.

Berharap sangat bulu² lebat tumbuh untuk cover sebagai span.

Hujung kaki yang dipotong ada tulang tajam.


Kes Ofinn

Pembedahan dia sempurna. Bahagian tangan dibuang semua sampai sendi bahu. Kawasan tu licin dan selesa untuk dia aktif. Nak pegang pun tak rasa takut².

4 ekor kucing kaki tiga dengan 4 prngalaman berbeza.

Moga bermanfaat untuk kesejahteraan kucing² kita. Bukan saja masa merawat tetapi kos pembedahan juga perlu difikirkan.

Happy Adoptiversary Alice

kucing-comel

16hb Ogos 2014 – Bawa Alice balik ke rumah.  Kurus dengan kepala yang besar.  Waktu ini Alice dijangka berumur 10 minggu.

Memandangkan saya tidak mengetahui tarikh tepat kelahiran Alice, saya membuat keputusan untuk menyambut hari istimewa Alice menjadi ahli keluarga kami iaitu pada setiap 16 Ogos.

kucing-kaki-kena-potong

Semakin Alice membesar, hujung kaki yang terpotong masih tidak sembuh sepenuhnya.  Luka di hujung kaki kerap berdarah apabila terseret pada lantai setiap kali Alice bergerak.  Kaki tersebut juga makin membengkok ke arah atas sehingga menganggu pergerakan Alice.  Tersangkut kat langsir pun berdarah.

Alice bukanlah seekor kucing yang manja dan mudah dibelai.  Dia kerap melarikan diri dan lebih selesa bersendiri.  Mungkin keadaan kaki yang belum sembuh menyebabkan Alice tidak berasa selamat.

operation potong kaki kucing

Selepas berbincang dan mendapatkan nasihat daripada 3 klinik veterinar berbeza, akhinya 01-01-2015 sekali lagi saya hantar Alice untuk operation memotong kaki Alice.  Bermula sekali lagi proses penyembuhan dan rawatan untuk Alice.

Alice sangat kuat dan bersemangat.  Hari kelima operation, dia dah boleh berlari seperti biasa.

Tetapi, proses penyembuhan bukan semudah yang diharapkan.  Entah di mana silapnya, luka kaki Alice sangat lambat untuk sembuh.  Bahagian tulang masih tidak tercantum dengan daging kulit menyebakan kaki Alice mudah berdarah.

Sekali lagi Alice dihantar ke klinik haiwan untuk minor operation.  Sekali lagi dibius dan dijahit.

Alice mendapat rawatan daripaa 3 klinik veterinar yang berbeza sehinggalah luka tersebut kering dan bulu mulai tumbuh menutupi luka tersebut.

kucing kudung kaki tiga

Alice mengambil masa lebih kurang 10 bulan untuk sembuh seperti ini.   Terlalu jauh perjalanan pengalamana kehidupan Alice dalam masa setahun ini.  Bila kaki Alice dah baik seperti ini, personaliti Alice juga berubah.  Dia lebih mudah mesra dan mahu bergaul dengan persekitaran.  Kehidupan sosial Alice juga semakin berkembang.  Tidak lagi menyendiri dan mudah dibelai atau didekati.

kucing kurang upaya

Alice sekarang yang lebih dewasa, membesar dengan sihat , lebih anggun ayu jelita.  Alice mudah mesra dengan kamera dan akan cepat menoleh apabila namanya di panggil.

 

kucing kaki tiga

Saya tidak pernah pun menghitung jumlah kos perubatan selama setahun Alice menjadi ahli keluarga kami…. cukuplah betapa bersyukurnya bila melihat dia sihat seperti ini.

 

kucing kudung

Alice yang montel dan gebu gebas sekarang.

happy adoptiversary

Happy 1st Adoptiversary Alice…..! Boleh ikuti kisah Alice dan kucing-kucing lain di IG kujiecats

2 Minggu Selepas Kaki Dipotong

Semalam saya bawak Alice ke klinik haiwan. Pemeriksaan pertama selepas operatioan potong kaki dia 1hb Januari 2015 baru-baru ni. Selepas 2 minggu kaki Alice yang dipotong tu sebenarya tak ada masalah, kering tetapi ada beberapa bahagian yang masih belum kering sepenuhnya.

Bahagian tu Alice kerap jilat. Saya baca banyak artikel mengenai penjagaan kucing ‘leg amputated ‘ kat internet. Ada beberapa nasihat yang kadang-kadang memeningkan kepala dan akhirnya saya akan buat keputusan berdasarkan nasihat doktor dan keadaan kucing kita sendiri. Artikel di internet sebagai panduan, kita yang fikir sendiri kesesuaiannya.

e-collar kucing

Doktor nasihatnya Alice memasai E-Collar ( Elizabethan collar ). Saya dah lama ada E-Collar ni tetapi jarang bagi Alice pakai. Rasa kesian tengok dia tak selesa. Tiap kali pakai, Alice mesti gesel-geselkan kepala ke dinding atau apa saja barang untuk mengeluarkan benda ni.

kucing kudung

Macam inilah kaki Alice selepas 2 minggu.  Parut di bahagian bawah sembuh dengan cantik tetapi yang atas  agak lembab dan lambat sembuh.  Bahagian ini memang boleh dicapai untuk dijilat. Bahagian tulang tak ada masalah.  Luka ini masih mentah, jadi agak lembut dan mudah tercedera semula.

Dari segi pergerakkan atau kehidupan, Alice tak ada masalah, malah dia boleh berjalan dan bergerak lebih selesa daripada sebelum kaki dipotong.  Alice boleh melompat dan lebih manja.  Sebelum pembedahan, kaki yang cedera menyebabkan Alice sentiada menjauhkan diri tidak berani didekati kerana dia agak fobia. Tetapi Alice sekarang semakin manja seperti seekor kucing yang normal.

Alice sebelum ini kucing jalanan, tahap ketahanan mental dia sangat tinggi.  Alice langsung tak makan ubat antibiotik kerana dia sangat sangat sangat susah nak makan ubat.  Penolakkan sebarang jenis ubat sehingga air liur Alice dirembis berjela-jela menandakan dia sangat tertekan dan tidak mahu makan ubat setiap kali dipaksa makan ubat.  Sebab itulah, saya tetap bawakan Alice ke klinik untuk rutin makan ubat cacing 3 bulan sekali.  Dia tak boleh makan ubat di rumah.

Alice cuma makan suppliment Brewers Yeast sahaja.

 

instagram kucing malaysia

Nota  i : Ada yang tanya kenapa saya menggunakan Bahasa Inggeris di Instagram Kujiecats. Sebenarnya disebabkan akaun kucing tersebut mempunyai lebih ramai rakan pemilik kucing dari luar negara. Sesekali saya mengupdate menggunakan BM, banyak soalan yang di tanya ” what happen to Alice?” ” Is she still doing ok?’ ‘How did she lose her leg???’

Kebanyakkan pemilik akaun kucing luar negara sangat friendly dan kerap berkongsi pendapat dan suka menulis komen. Tahap BI saya pun tunggang langgang juga ( Terima kasih Google Translate )….tapi kata anak-anak saya, mama bukan buat benda tak elok, jadi kenapa nak malu.

 

Nota ii :  Sebenarnya banyak benda mengenai kucing yang saya nak kongsi ( berdasarkan pengalaman ) tetapi agak malas menulis :p