Menyingkap Istana Negara Disebalik Pameran Raja Kita

Sebagai orang biasa bukan luar biasa, saya, Angah dan Intan tidak melepaskan peluang mengunjungi Istana Negara ( lama ) untuk melawat Pameran Raja Kita.

Pameran Raja Kita diadakan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selama dua bulan  merakamkan sejarah ringkas riwayat hidup baginda, alat kebesaran diraja juga koleksi peribadi Tuanku Abdul Halim.

Tarikh Melawat Istana Negara : 15 April hingga 15 Jun 2012
Waktu Lawatan Istana Negara : 9.00 pagi hingga 5:00 petang
Lokasi Istana Negara : Masuk melalui pintu utama di Jalan Istana
Bayaran Masuk Istana Negara : Percuma

Edit :  Maklumat dari laman web Jabatan Muzium Malaysia , Pameran Raja Kita di Istana Negara Lama ( Jalan Istana ) dilanjutkan sehingga 31hb Dis 2012

Sebelum memasuki pameran di Balairong Seri Istana Negara , pelawat kena tanggalkan kasut dan bayaran RM3 dikenakan sekiranya kita merakamkan gambar dengan kamera termasuk telefon bimbit.

Kami datang awal, pelawat belum ramai.   Semangat berkobar-kobar dari rumah sebab nak merasa masuk Istana Negara.  Pernah melawat dulu, tetapi hanya bergambar dengan pengawal yang bertugas di luar pintu pagar.

Kalau dari luar, kita nampak Istana Negara besar agam dengan megahnya.  Sebenarnya bangunan Istana Negara yang dibina dalam tahun 1928  tidaklah sebenar mana.

Ini adalah Mohor Besar Raja-raja.  Wah… terus teringat pengumuman puasa dan hari raya, kan?

Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja- Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa  anak bulan…. * belum habis pengumuman , bunga api mercun dah berdentum *

Mohor Besar Raja-raja dibuat di England pada tahun 1949 yang digunakan sehingga ke hari ini. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sekarang adalah Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

 

 

Biasa nampak gambar kat sini?  Selalunya orang- orang besar terima pingat kebesaran,  bergambar suami isteri  depan singgahsana dan frame gantung kat ruang tamu.

Ini pula bunga emas negeri Kedah…. ops! yang dibelakang tu Bunga Emas, yang berdiri tu Intan Payung.  Kedah mengirimkankan bunga emas atau bunga perak kepada Raja Siam setiap 3 tahun sekali.  Penghantaran bunga emas telah menimbulkan dua tafsiran berbeza.  Pihak Inggeris dan Siam menganggap penghantaran ini sebagai ufti tanda mengaku tunduk kepada Siam.  Namun di pihak Raja-raja Melayu pula mengatakan bunga emas dihantar sebagai tanda perikatan dan persahabatan dengan Siam.

Passport Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong termasuk Kad Pengenalan dan Lesen Memandu antara barangan peribadi yang dipamerkan.

Antara alat kebesaran dan koleksi cenderamata yang terdapat di ruang pameran.

 

Kesopanan dan Kesusilaan  anak beranak ni…


Balairong Seri Istana Negara

Ini bilik air di dalam istana.  Ini saja bahagian lain yang dibuka untuk kegumaan umum.  Kalau boleh, nak juga tengok  ruang dapur, bilik tidur atau ruang makan yang terdapat di dalam istana tu….

Taman yang terdapat di bahagian belakang bangunan istana.  Saya ingat ke taman istana ada pokok warna warni, buaian bunga-bunga atau landskap menarik.  Biasa saja tetapi rimbunan pokok-pokok tersebut memberi suasana redup dan sejuk.

Jangan lepaskan peluang , ambillah masa untuk mencatit sejarah peribadi untuk kenangan .  Biasanya Pameran Raja Kita diadakan di Muzium Negara tetapi untuk julung kalinya, pameran di adakan di Istana Negara.

Saya ada bertanya kepada kakitangan yang bertugas sama ada pameran ini tetap diteruskan selepas 15 Jun dengan dikenakan bayaran.  Dia pun tak pasti lagi… jadi, jangan terlepas peluang.