Habuan Terindah Kala Ramadan

Kini bertemu kita dengan Ramadan. Yang dirindui, yang dimipikan malah mungkin sahaja yang digeruni dan ditakuti. Biasanya dalam Ramadan banyak kes ulangan akan terjadi….

Si ayah dan ibu sudah mula sibuk memberikan penerangan dan motivasi kepada anak-anaknya yang dikira sudah boleh bagi mempraktiskan puasa. Mula-mula dengan memulakan cerita diri mereka sendiri.

Si ayah berkata, “Abang dan kakak mahu tahu, ayah dahulu masa darjah satu sudah puasa tahu.”

Si anak teruna dan daranya yang masih bersekolah rendah pasti mendengar tekun, “Iyakah, ayah? Hebatnya….”

Si ayah tersenyum, si ibu juga pasti lebih panjang senyumnya kerana tahu perkara sebenar!

“Larat pula ayah puasa selama 30 hari penuh, ya?” tanya si kakak.

“Mula-mula susah juga, tapi nenek dan atuk pujuk sekaligus paksa ayah. Kalau ayah dapat puasa penuh mereka akan bagi hadiah,” ujar si ayah.

Si adik teruja, “Wah…! Bagusnya… kalau macam itu kami pun mahu puasa dan hadiah jugalah, ayah.”

“Betul?”

Kedua mereka kemudian mengangguk yakin.

Manakah yang paling sesuai

Kita sendiri mungkin antara anak-anak yang digambarkan di atas suatu masa dahulu. Antara proses pembelajaran dan tarbiyah daripada ibu bapa adalah dengan meletakkan nilai atau barangan tertentu sebagai ganjaran kepada anak mereka.

Anak-anak menjadi terdorong dan mungkin sahaja dapat menyelesaikan tugasan ibadah yang diberikan dengan harapan lama-kelamaan anak akan faham bahawa ibadah tersebut merupakan kewajipan dan akan meneruskan amalan ibadah tersebut sekalipun tiada ganjaran lagi daripada ibu bapa mereka, namun….

Keadaan yang berlawanan juga boleh berlaku di mana anak-anak yang sudah terbiasa mendapat habuan daripada apa yang mereka lakukan hanya akan melaksanakan sesuatu ibadah itu apabila ada habuan sahaja. Pada masa yang lain, apabila ganjaran sudah tiada, mereka mungkin tidak lagi mahu berpuasa dan ini mungkin sahaja akan terbawa-bawa sampai mereka dewasa, nauzubillah hingga ke tua.

Minda ganjaran

Menjadikan ganjaran segera kepada lelah payah anak dalam melaksanakan ibadah tidak salah di sisi agama apatah lagi ketika mereka masih lagi kecil dan belum mengerti. Namun menjadikan habuan tersebut sebagai orientasi khusus setiap kali mahu mereka melakukan sesuatu ibadah ataupun perkara-perkara lain mungkin akan menyebabkan mereka membesar dengan minda dan sikap, “Apa yang saya dapat kalau saya buat perkara ini?”

Kebiasaan ini mungkin sahaja akan melahirkan golongan yang begitu materialistik dalam urusan apa sekali pun termasuk urusan agama. Selain daripada itu, ibu bapa biasanya menjadikan prestasi pembelajaran anak-anak mereka sebagai penentuan kepada habuan yang mahu diberikan.

Secara halusnya, anak-anak tidak lagi kenal apakah itu ikhlas. Insaniah dalam diri mereka terhakis sedikit demi sedikit kerana disogokkan dengan habuan-habuan sebagai balasan daripada setiap apa yang mereka lakukan. Lihat sahaja sekeliling kita pada hari ini.

Minda yang sudah disetkan, “Apa yang aku dapat?” mendominasi hampir setiap manusia yang maujud pada hari ini termasuk orang Islam keseluruhannya.

Kembali kepada fitrah agama

Dalam satu kuliah Maghrib, seorang ustaz membahaskan mengenai isi buku berjudul 20 Persoalan Lazim Orang Bukan Islam Mengenai Islam yang ditulis oleh tokoh pendakwah dan pendebat perbandingan agama dari India iaitu Dr Zakir Abdul Karim Naik.

Selepas beliau membincangkan mengenai hujah-hujah balas dari sudut saintifik dan logik akal beliau kemudian menerangkan kepada pendengar, “Tuan-tuan, ada bezanya apabila orang bukan Islam bertanya, contoh mengenai mengapa babi dan arak diharamkan berbanding dengan anak-anak kita sendiri. Ada beza pada cara menjawabnya.”

Beliau menyambung, “Orang bukan Islam, mereka pastinya tidak percayakan kepada al-Quran dan Hadis kerana mereka belum Islam dan beriman dengannya. Justeru apabila mereka bertanya mengenai Islam pastinya kita memerlukan hujah-hujah logik akal dan berbentuk saintifik bagi meyakinkan mereka. Namun, apabila anak-anak kita sendiri termasuk orang Islam lain yang bertanya adalah tidak patut kita gunakan hujah logik akal dan saintifik semata-mata.”

“Justeru apabila ditanya oleh orang Islam sendiri khususnya anak-anak kita mengapa orang Islam tidak boleh makan babi dan minum arak, jawapan yang paling utama adalah kerana Allah yang suruh. Ianya termaktub dalam al-Quran dan diperkuatkan pula dengan hadis-hadis Rasulullah, kemudian barulah bahaskan secara logik akal dan cerapan kajian sains dan data-data semasa kesa buruk daripada perkata tersebut,” sambung beliau lagi.

“Bayangkan suatu hari nanti, andai kita fahamkan kepada anak-anak kita bahawa babi haram dimakan kerana ada kuman yang tidak mati pada dagingnya dan arak haram kerana memabukkan jangan terkejut suatu hari nanti dek kerana kemajuan sains dan teknologi anak-anak kita kemudian berhujah dengan berkata, ‘Hari ini sudah tiada masalah bagi memakan babi dan meminum arak kerana sudah ada teknologi yang boleh menghapuskan kuman pada babi dan sudah ada arak yang tidak memabukkan,’…!”

Pabila anak bertanya

“Ayah, kenapa kita kena berpuasa?”

“Kerana Allah yang suruh, ianya dinyatakan dalam al-Quran dan Rasulullah juga berpuasa. Oleh sebab itu kita wajib berpuasa. Wajib itu maksudnya kalau buat boleh pahala dan kalau tidak buat akan berdosa besar.”

“Habis, apa yang Allah berikan kepada kita!?”

Semoga ibu bapa menjawab dengan berhikmah dan bukan lagi mencipta dongengan baharu.

*********

Post ini disediakan oleh  Penulis Jemputan  Ustaz Zahiruddin Zabidi dari kalamkhalifah.com , Seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku Melayu tersohor di Malaysia. Beliau juga adalah penulis novel sejarah Islam bertajuk Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi (2010) dan Aminah: Cinta Puteri Quraisy (2010) juga sebuah karya motivasi keagamaan berjudul Bukan Susah Nak Faham (2011).

About Kujie

Pemilik tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat di dalam laman ini. Jika anda memerlukan perkhidmatan nasihat yang khusus, sila dapatkan pakar bertauliah dan berpengetahuan di dalam bidang berkenaan.

Untuk biodata penuh boleh lihat di Biodata Kujie

Mereka Yang Berkongsi Rasa

  1. artikelnya menarik dan ngena sekali maksudnya… terimakasih kak jie…

  2. Bagus artikel ni..maksud yang ingin disampaikan diterima..

  3. Masa darjah 1 sampai 4,memang dilatih puasa 1/2 hari,darjah 5,puasa sehari penuh tapi tak dapat 30hari.Darjah 6 kena puasa penuh tapi ada juga melencong bila time mandi hehehe….(minum air senyap2).Sekarang bila dah berumah tangga,memang puasa penuh 30 hari tanpa gagal 🙂
    Jom terjah post menarik dari azman ..Vendetta Anonymous Was Here!My Profile

  4. betul. kekadang, tak larat nak layan apa budak-budak ni soal. haiya..
    Jom terjah post menarik dari ohcikgu ..Singapura Lions XII sah Juara Liga Super 2013. Tahniah!My Profile