Maksud Arah Atas Dan Bawah Untuk Bertaubat

keindahan ciptaan allah

keindahan ciptaan allah
Sebenarnya apa yang ingin saya kongsi hari ini adalah mengenai bab taubat. Isipati kelas pengajian saya semalam.  Kami baca buku Membentuk Jiwa Sufi oleh Dr Hj Jahid Hj Sidek.

Dalam Surah Al-Tahrim ayat 8, Allah berfirman ” Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha”

Dalam ayat ini, ‘hendaklah kamu’ itu ditakrifkan sebagai ayat perintah. Allah memerintahkan kita untuk bertaubat. Maksudnya kalau kita ini mengaku seorang umat yang mengikut perintah, kita wajib untuk sering bertaubat nasuha. Taubat nasuha adalah taubat pada zahir dan batin dengan azam untuk tidak melakukan lagi kejahatan tersebut.

Kita ni mudah sangat nak berbuat dosa, kadang² hanya seorang diri pun boleh berdosa. Dosa bukan saja dilakukan membabitkan orang lain. Apabila kita menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan perkara yang disukaiNya, maka Allah SWT pun akan kasih kepada kita.

Bila Allah SWT kasih, Allah SWT tidak akan melihat cacat cela dan kekurangan kita malah Allah SWT akan menutup kekurangan atau aib kita. Antara kemuliaan dan kemurahan Allah SWT kepada hambanya adalah sentiasa menerima taubat biar pun berkali-kali kita melakukan kejahatan.

Ustazah ada bercerita mengenai satu kisah dari kitab Abu Talin Makki mengenai seorang ahli tasawwuf yang pernah melakukan dosa berulang-ulang, setiap kali dia melakukan dosa, segera dia bertaubat. Selepas bertaubat, dia melakukan dosa lagi dan bertaubat semula sehingga berulang 70 kali barulah dia dapat bertaubat terus dan tidak melakukannya lagi.

Kita ni mudah untuk disesatkan oleh iblis kerana iblis pernah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan umat manusia sehingga ke akhir hayat.

Iblis berkata “Demi kemuliaanMu , aku tidak akan keluar dari hati anak Adam selama ada roh di jasadnya ” (Surah Al- Hijr, ayat 39 )

Kemudian Allah SWT berfirman ” Demi kemuliaanKu, nescaya Aku akan lindungi mereka dengan taubat selama roh-roh mereka itu ada di dalam jasad-jasad mereka” (Surah Ali Imran ayat 15)

Iblis menjawap ‘ Sesungguhnya aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, di kanan dan kiri mereka” ( Surah Al-A’faf ayat 17)

Bila iblis berkata macam tu, para malaikat pun menjadi bimbang kerana mereka tahu bagaimana lemahnya manusia yang mudah melakukan kejahatan.

Allah SWT pun berfirman kepada malaikat bahawa sesungguhnya ada lagi peluang untuk manusia iaitu arah atas dan bawah. Yang dimaksudkan arah atas  itu sebenarnya apabila manusia mengangkat kedua-dua tangannya sambil berdoa dalam keadaan yang merendah diri di hadapan Allah dan yang dimaksudkan arah bawah itu apabila manusia meletakkan mukanya sujud kepada Allah SWT dalam keadaan khusyuk.

Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa kita walau seberapa banyak selagi kita kembali bertaubat. Wallahualam bissawab

Saya jarang menulis mengenai bab pengajian saya setiap pagi tetapi entri ini adalah satu ingatan untuk diri sendiri yang sedang berusaha untuk mendapatkan hati mutmainnah. Semoga memberi manfaat kepada kita semua.

11 Replies to “Maksud Arah Atas Dan Bawah Untuk Bertaubat”

Comments are closed.