Belajar Bahasa Sanskrit Di Memorial Batu Bersurat

Selepas meronda Pasar Kuala Berang semalam, saya dan Intan melawat Memorial Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh.

Batu Bersurat ini ditulis di dalam bahasa percampuran Melayu Lama, Sanskrit dan bahasa Arab dengan tulisan jawi.

Salah satu dari empat bahagian mengandungi ayat-ayat seperti ini :

Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka.
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.
Dengan benar bicara derma meraksa bagi sekelian hamba Dewata Mulia Raya.
Di Benuaku ini, penentu agama Rasulullah Sallallahu A’laihi wa sallam raja.
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam.
Bahumi penentu itu fardu pada sekelian Raja Manda.
Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
Bicara berbajiki benua penentu itu maka titah Seri Paduka.
Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu ada pertama ada.
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan di sasankala.
Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua.

Faham?

Saya pun tak faham ayat klasik nasional ni.. Nasib baik seorang staff yang menjaga Memorial Batu Bersurat Kuala Berang ini telah membantu menterjemahkan makna beberapa perkataan.

  • Santabi – Sahabat
  • Asa – Amanah
  • Dewata Mulia Raya – Allah
  • Derma meraksa – Benda betul
  • Mandalika – Pembesar
  • ahumi – Agama
  • Raja Manda – Raja dunia
  • Lika – Jika
  • Setitah – Firman
  • Berbajika – Setelah faham
  • Tamra – Undang-undang
  • Saratan – Disuratkan/ditulis
  • Sasankala – Tahun yang berlalu.

Ayat terakhir bermaksud, Batu Bersurat ini telah ditulis pada hari Jumaat di bulan Rejab tahun 702H ( 1303M)

Mengikut catatan sejarah, Batu Bersurat ini dijumpai di tepi Sungai Tara pada tahun 1887 . Sekarang dikenali dengan nama Tanah Batu di Kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Pada tahun 1902 , batu ini kemudiannya telah dijumpai pula oleh Syed Hussin bin Ghulam Al-Bukhari di bahagian tangga Surau Kampung Buloh . Batu ini dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut dan ianya telah patah sebahagian atasnya.

Batu Bersurat ini adalah batu peringatan yang terawal dijumpai di Semenanjung dan merupakan rekod mengenai Islam sebagai agama rasmi bagi Kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada bahagian-bahagian lain batu ini mengandungi catatan yang menerangkan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan palsu dengan hukum mengikut taraf seseorang.

Saya pernah melihat Batu Bersurat ini di Muzium Negeri di Kuala Terengganu dan sangat beruntung kerana berpeluang melawat tempat asal dijumpai. Lebih bernasib baik kerana mendapat penerangan dan memahaminya.. Dulu hanya sekadar tahu dan membaca tanpa mengetahui dengan lebih terperinci.

Lokasi hari ini ke Perpustakaan Awam Kuala Berang.

Posted with WordPress for BlackBerry.

28 Replies to “Belajar Bahasa Sanskrit Di Memorial Batu Bersurat”

  1. Yang saya tahu..Syed Hussein temui batu tersebut sewaktu berburu dan minta orang hulu k. Berang bawa batu tersebut ke sebuah surau dan kemudian d bawa pula k Kuala Terengganu….tidaklah dijadikan tempat alas basuh kaki…
    T.kasih

  2. Pingback: Belajar Bahasa Sanskrit Di Memorial Batu Bersurat | Hidup Biar Sedap.

Comments are closed.