JomOuting Di Taman Botani Putrajaya Bersama Ai Media Dan Perbadanan Putrajaya

Alhamdulillah, saya bersama suami [Ann] dan anak dara nan seorang tu [Intan] telah bertolak seawal pagi Sabtu 13 Sept 2014 ke Putrajaya. Kami sekeluarga telah menghadiri program Jom Outing 3 anjuran Ai Media Network dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya di Taman Botani Putrajaya.

JomOuting siri ke-3 yang dianjurkan oleh Ai Media Network adalah Jom Outing kali kedua dihadiri oleh kami sekeluarga.

aimedia taman botani putrajaya

Acara  jam 11.30 pagi dimulai oleh taklimat daripada Encik Zakaria selaku kakitangan yang bertanggungjawab mengelolakan Taman Botani Purtajaya di Anjung Botani. Rugi sangat kerana tidak sempat mendengar taklimat ini daripada mula. Banyak input yang berfaedah telah dikongsi oleh Encik Zakaria bersama peserta mengenai Taman Botani Putrajaya.

Beliau menerangkan beberapa kemudahan yang disediakan di Taman Botani Putrajaya yang boleh digunakan oleh orang ramai , contohnya menyewa tapak majlis perkahwinan atau penggambaran filem. Terdapat perkhidmatan Jurupandu Taman untuk berkumpulan ( minimum 10 orang ) disediakan oleh pihak taman. Bagi anak-anak, program Modul Pendidikan seperti Cari dan Cantum Serangga, Mari Mewarna Flora Malaysia, Karya Alam-Kolaj Flora dan sebagainya memang sesuai bagi mengisi aktiviti berfaedah.

Ada banyak fakta menarik nak dicerita, tapi tak cukup satu blog pos kot…jadi kalau inginkan maklumat lanjut, boleh semak di Taman Botani Putrajaya.

kelas fotografi taman botani putrajaya

Siri Outing dimulai oleh Cikgu Tarmizi Shukri jam 2 petang selepas selesai makan tengahari.  Sesi yang bertemakan santai dengan fokus berkongsi ilmu sesama peserta sambil mengambil gambar sekitar Taman Botani Putrajaya.

Perkara utama yang ingin disampaikan kepada pemilik kamera dslr adalah untuk cuba memahami teknik asas fotografi , kita boleh menghasilkan gambar yang diharapkan dengan lebih mudah tanpa bergantung kepada nasib semata-mata.

kelas kamera taman botani putrajaya

Setiap gambar yang terhasil adalah interpretasi peribadi setiap orang yang berbeza. Setiap keping gambar memiliki nilai dokumentasi yang tinggi kerana ia mampu merakam sesuatu yang tidak mungkin akan berulang kembali.

intan payung

Inilah Intan Payung sebenar.

[ Gambar diatas sumbangan : Facebook Ai Media Network ]

[ Gambar di bawah ini adalah gambar  milik saya menggunakan kamera telefon Samsung S3 – cuma merakam moment indah untuk kenangan peribadi ]

Sementara menunggu peserta meneruskan jelajah Taman Botani Putrajaya, Intan dan Arissa menyewa basikal.  Ramai pengunjung yang datang berbasikal di kawasan Taman Botani Putrajaya diwaktu petang selain aktiviti berjogging atau berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan.

 

basikal taman botani putrajaya

Sewa basikal di Taman Botani Putrajaya 

  • RM4 sejam pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.
  • RM2 sejam pada hari Isnin – Jumaat

Selain basikal, perkhidmatan trem juga disediakan.

berbasikal di taman botani putrajaya

Taman yang luas dan cantik ini sesuai dijelajah dengan berbasikal.  Kalau berjalan kaki, kita akan mengambil masa sekurang-kuranyang 90 minit untuk menghabiskan lawatan kawasan landskap semulajadi yang terdiri daripada 13 taman tema ini.

Antara taman tema yang terdapat di sini ialah Titian Kanopi, Denai Helikonia, Taman Pepanjat, Bukit Palma, Taman Suria, Koleksi Tanaman Afrika, Koleksi Tanaman Amerika Tropika, Koleksi Tanaman Asia Pasifik, Teduhan Ara, Laluan Pandanus, Laluan Kana, Terowong Bunga Kertas dan Taman Paku Pakis.

pokok ketapang taman botani putrajaya

Pokok ketapang (Terminalia catappa)

jambatan kanopi taman botani putrajaya

Titian Kanopi sepanjang 170 meter terletak antara Pusat Interpretif Pelawat dan Denai Helikonia yang menjadi mercu tanda Taman Botani Putrajaya.  Sepanjang melalui Titian Kanopi, kita boleh melihat dengan lebih dekat beberapa jenis tumbuhan seperti pokok Saga, Terap Nasi, Keruing Belimbing , Jati, Indian Rosewood dan Kasai.

pepatung di taman botani putrajaya

Taman awam yang diuruskan Perbadanan Putrajaya (PPj) ini mengandungi lebih 700 spesies tumbuh-tumbuhan yang berasal dari lebih 90 buah negara. Taman Botani Putrajaya dibuka setiap hari kecuali Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Kami balik pada petang tersebut dengan impian untuk datang semula jika berkesempatan.  Terima kasih Ai Media Network dan Perbadanan Putrajaya yang telah berjaya menganjurkan aktiviti ini dengan berkesan sekali.

    • ooo… kak jie tak nampak juga tram pada hari kami ke sana , mgkn perkhidmatan dihentikan buat sementara waktu kot.
      tapi ada hikmahnya tu..dapat pengalaman lain yang tak kurang menarik juga